Tips travel dan aktiviti menarik di Yeosu, Korea Selatan

Sharing is caring! Facebook Twitter LinkedIn Email Terletak di bahagian selatan laut Korean Selatan iaitu di Jeollanam-do province, Yeosu, dalam bahasa Korea bermaksud “air bersih”,…

Terletak di bahagian selatan laut Korean Selatan iaitu di Jeollanam-do province, Yeosu, dalam bahasa Korea bermaksud “air bersih”, merupakan salah satu bandar pelabuhan terkenal di negara ini. Kebanyakan pengunjung dari dalam negara ke Yeosu untuk menikmati pemandangan pantai, makanan laut yang segar serta banyak lagi. Selepas aku jejakkan kaki dan lihat sendiri keindahan di sini, baru la aku tahu kenapa Yeosu dipilih sebagai tuan rumah untuk 2012 World Expo.


Kenapa aku pilih untuk teroka Yeosu? Aku seorang yang suka cari kelainan bila travel maksudnya aku cuba cari benda baharu yang mungkin belum ramai orang tahu tentangnya. Boleh la aku gunakan blog dan media sosial sebagai medium untuk kongsi pengalaman, tips dan beberapa info berguna untuk orang lain. Aku bersyukur diberikan peluang untuk ke sini. Alhamdulillah!

Tanpa membuang masa, jom kita mulakan sesi perkongsian ni (formalnya ayat). Aku akan kongsikan beberapa perkara dalam entri ini iaitu:

1. Pengenalan ringkas
2. Cara ke Yeosu
3. Tips
4. Keperluan
5. Penginapan
6. Tempat dan aktiviti

 Yeosu 

1. Yeosu terdiri daripada semenanjung Yeosu dan sekitar 317 pulau yang mana 49 daripadanya mempunyai penduduk dan yang lainnya (268) hanya la pulau kosong. 
2. Yeosu mempunyai suhu cuaca yang sangat ideal dimana cuaca yang tak terlalu panas pada musim panas dan tak terlalu sejuk pada waktu sejuk. Ini kerana faktor lokasinya yang kerap menerima angin laut serta warm current. 
3. Berbeza dengan Jeonju, suasana di Yeosu lebih modern. Ada banyak bangunan tinggi. Jika anda datang dalam masa terdekat, anda akan nampak banyak kawasan tengah dalam proses renovasi serta aktiviti pembangunan giat dijalankan.
4. Salah satu acara terpenting berlangsung di Yeosu ialah 2012 World Expo iaitu pada 12 Mei 2012 hingga 12 Ogos 2012. Ia merupakan ekspo yang menekankan isu berkait dengan marin dan alam semula jadi yang lain. Yeosu World Expo 2012 disertai 105 buah negara dan menerima sekitar 5 juta pengunjung. 

 Cara ke Yeosu 

1. Terdapat satu lapangan terbang beroperasi di Yeosu iaitu Yeosu Airport untuk penerbangan-penerbangan domestik (dari Jeju dan Gimpo) dari dua syarikat iaitu Korean Air dan Air Asiana
2. Jika anda datang dari Seoul, anda boleh naik tren KTX dan perjalanan mengambil sekitar 3 jam 50 minit. Perjalanan bas pula mengambil sekitar 4 jam 40 minit
3. Jika anda datang dari Busan, menaiki bas ialah alternatif terbaik untuk anda. Perjalanan mengambil sekitar 2 jam 50 minit

Memandangkan aku dari Jeonju, aku pilih untuk naik tren KTX dari Jeonju Station ke Yeosu Expo Station. Kalau anda datang masa non-peak season, boleh beli terus tiket berharga KRW 16,100 (RM60) sehala di kaunter. Staf di Jeonju Station boleh cakap bahasa Inggeris. Ada dua jenis tren boleh beroperasi ke Yeosu dari Jeonju Station iaitu KTX dan Mugunghwa. Beza sikit dari segi harga dan masa. 

 Tips 

1. Pengangkutan: ada dua alternatif terbaik untuk pergi ke tempat-tempat di Yeosu. Kalau ada bajet banyak, boleh naik teksi. Kalau nak jimat dan nak do it like a local, boleh cuba naik bas awam. Waktu perjalanan dan kekerapan bas pun bagus. Cuma kebanyak nama hentian bas dalam tulisan Korea. Anda boleh guna Google Map untuk track pergerakan bas dan jangan segan nak bertanya ya. Untuk naik bas pula anda boleh gunakan kad T-Money.
2. Makanan: bab makanan agak terhad untuk Muslim traveller kalau nak makan daging, ayam atau nak cari restoran yang betul-betul halal. Alternatif terbaik ialah pergi ke restoran yang hanya menghidangkan makanan laut. Ada banyak terutamanya di kawasan pantai.
3. Kad kredit atau tunai: dua dua boleh. Lagi bagus tunai la kan tapi sekiranya anda kehabisan tunai, boleh guna kad. Majoriti kedai (walaupun kedai runcit kecil) terima kad kredit/debit. Kalau nak keluarkan duit, pastikan mesim ATM tu terima international card ya.
4. Bahasa: berdasarkan pengalaman aku, orang di sini ramai yang tak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Orang-orang muda ada la yang boleh cakap Inggeris. Satu benda yang aku kagum ialah walaupun mereka tak boleh cakap Inggeris, mereka berusaha juga nak jawab atau tolong. Tips aku ialah cuba tanya pengunjung lain sebab ramai orang Korea khususnya dari Seoul datang bercuti ke Yeosu. Mereka boleh bantu.
5. Keselamatan: Yeosu memang selamat walaupun untuk solo traveller. Korea Selatan umumnya selamat. Walaubagaimanapun, kena sentiasa berhati-hati juga. Tak kisah la selamat mana sesuatu tempat tu, kejadian tidak diingini boleh berlaku.

 Keperluan lain 

1. Buku diskaun DKYW2018: Aku guna kupon ini untuk dapat diskaun di beberapa tempat di Yeosu. Warganegara Malaysia yang akan ke Korea Selatan sebelum Mac 2019, jangan lupa dapatkan booklet Discover Korea Your Way 2018 ni secara PERCUMA ya. Klik sini untuk info lanjut. 

2. Poket WiFi RoamingMan: Sepanjang trip di Korea Selatan, aku guna poket WiFi Roaming Man. Device kecil & ringan senang nak dibawa ke sana ke sini. Harga data pun berbaloi. Jimat kalau anda travel secara berkumpulan. Klik sini untuk book poket WiFi dari RoamingMan. 

 Penginapan di Yeosu 

Memandangkan aku cuma ada 3 hari 2 malam di Yeosu dan kawasan bandar ni tak la besar sangat (kebanyakan tarikan utama terletak berdekatan antara satu sama lain), aku pilih untuk menginap di satu tempat sahaja.
Yeosu tak ada hanok guesthouse macam di Jeonju. Oleh itu aku pilih penginapan ringkas, value-for-money dan selesa iaitu Backpackers in Yeosu. Lokasi hotel atau hostel ini agak strategik kerana berdekatan dengan pelbagai tempat seperti restoran, supermarket, hentian bas dan cuma beberapa minit jalan kaki ke Yeosu Expo Station.

Staff di sini boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dengan baik. Backpackers in Yeosu menawarkan pelbagai jenis bilik dari dorm hinggalah single room. Aku menginap di bilik single yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti TV, penapis udara, bilik air dengan alatan mandi, pengering rambut dan banyak lagi. Kalau anda nak berehat tanpa sebarang gangguan, boleh pilih single room sebab lebih privasi. Kadar harga aku dapat sekitar KRW 45,000 (RM168) semalam termasuk sarapan pagi.

Selain lokasi, aku suka hotel/hostel ni sebab Interior hotel/hostel ni pun agak menarik dan fresh. Ada banyak spot untuk santai, buat kerja (menulis, balas e-mel atau etc), baca buku dan lain-lain.  Tak hairan la rata-rata tetamu di sini semuanya orang muda atau urban (well, termasuk aku).

Semua tetamu akan sediakan sarapan pagi dan kemas sendiri. Semua bahan asas disediakan seperti telur, keju, roti, susu dan jus oren. Ia konsep ala-ala dekat rumah la ni sekali gus boleh ajar para tetamu rasa tanggungjawab. Kekurangan cuma bila ramai orang, dapur akan sesak dan lambat la anda boleh sarapan pagi. To avoid that crowd, I suggest you to wake up early to stanby at the kitchen before it opens. 
Umumnya, aku dapat rehat dengan tenang. Bilik selesa. Tak bising. Sarapan pagi cukup. Highly recommended one! 
Backpackers in Yeosu 

 Yeosu Expo Ocean Park 

Terletak bertentangan dengan Yeosu Expo Station, Yeosu Expo Ocean Park pernah menjadi tumpuan utama para pengunjung dalam dan luar negara ketika 2012 World Expo kerana ia menjadi lokasi utama ekspo ini berlangsung. Bayangkan sekitar 8 juta pengunjung datang ke sini.
Sumber gambar: www.beautifulview.org

Tarikan-tarikan di sini termasuklah sky bridge, Big O dan banyak lagi. Bagi anda yang ingin pelajari sejarah atau info tentang 2012 World Expo yang disertai 105 negara dan organisasi antrabangsa, jangan lupa untuk singgah di expo hall. Pada hari biasa, kawasan Yeosu Expo Ocean Park agak sunyi dan meriah bila ada festival atau event. Rajinkan diri semak kalendar festival atau event berlangsung di sini supaya boleh tahu waktu terbaik untuk ke sini. 
Laman web: www.expo2012.kr

 Big O Show 

Anda peminat persembahan air, lampu dan musik? 
Big O Show merupakan salah satu tarikan utama di Yeosu dimana ia menggunakan lima aspek asas iaitu skrin air dan musik, tasik, asap, api dan lampu. Menariknya tentang persembahan ini ialah pergerakan air dan lampu akan ikut rythm lagu yang dimainkan iaitu sweet classic melody dan jazz. 
Sumber gambar: Cesar Corona & Nora Bay
Memandangkan aku tak sempat tonton persembahan Big O Show, aku baca la ulasan di TripAdvisor. Berikut merupakan beberapa ulasan dari pengunjung yang tengok persembahan ni.

“The show was so attractive for all ages. Excellent water and lighting show. The technology is amazing. I watched this type of show first time and enjoyed it” – Pengunjung dari Bangladesh.

“The best sound and light show that I have seen. Did not expect a world class show in a relatively small city such as Yeosu” – Pengunjung dari Malaysia.
Harga tiket: KRW 18,000 – 22,000 (RM67 – RM83) untuk dewasa, KRW 21,000 (RM78) untuk remaja dan KRW 12,000 – 16,000 (RM44 – RM59) untuk kanak-kanak

Waktu operasi: Jadual persembahan berbeza mengikut jenis persembahan dan musim

 Sky Tower 

Jika anda ingin menikmati pemandangan matahari terbenam di sekitar Yeosu, pergi ke Sky Tower. Terletak bersebelahan dengan Yeosu Expo Station, menara yang berketinggian 64 meter ini dahulunya merupakan tempat/kilang penyimpanan simen dan kini menjadi salah satu tarikan di Yeosu.
Fakta menarik: Ia tersenarai dalam Guiness Book of World Records kerana mempunyai pipe organ yang menghasilkan bunyi dan boleh didengari sehingga sejauh 6KM dari bangunan. 
Waktu ideal untuk anda datang ke sini ialah masa matahari terbenam (untuk pemandangan cantik) atau malam (menara ini dihiasi lampu warna warni dan kadang-kadang dengan musik).

Laman web: www.skytower.kr

Bayaran masuk: KRW 2,000 (RM8)/seorang

Waktu operasi: 9 pagi – 10 malam setiap hari

 Yeosu Ocean Rail Bike 

Need some exercise? 
Jangan lupa naik Yeosu Ocean Rail Bike. Aktiviti ini menawarkan anda peluang untuk mengayuh basikal sejauh 3.5 km (sekitar 25 minit) sambil menikmati pemandangan laut selatan dan alam semula jadi yang lain. Selain pemandangan cantik, highlight tarikan ni ialah peluang melepasi terowong yang dihiasi dengan lampu LED. 

Untung la sambil dapat lihat pemandangan cantik secara tidak langsung/tanpa disedari bersenam sekali. Ngehehe. 
Waktu operasi: 9 pagi – 6 petang (waktu tambahan pada musim panas iaitu dari 6 petang – 8.30 malam).
Harga tiket: KRW 20,000 (RM74) untuk dua kerusi, KRW 25,000 (RM93) untuk tiga kerusi dan KRW 30,000 (RM112) untuk empat kerusi. Tiket boleh dibeli terus di kaunter pembayaran. 

 Mosageum Beach 

Mesti ada antara anda tertanya-tanya “Eh, kenapa la dia ni cerita pasal Yeosu tapi tak kongsi pasal pantai pun?”. Tak la, mana mungkin aku tak kongsi pasal pantai kalau bercerita tentang Yeosu kerana ia juga terkenal sebagai destinasi menarik untuk mereka yang minat dengan aktiviti pantai
Mungkin ada yang kata bahawa pantai-pantai di Yeosu ni biasa saja. Hmmm, memandangkan aku dah pernah pergi macam-macam jenis pantai, aku tak boleh nak sangkal apa yang telah disebut sebentar tadi tapi bagi yang jarang ke pantai, anda pasti akan enjoy pantai di Yeosu. Jika anda nak santai atau mandi di pantai yang tenang dan lebih bersih, aku nak recommend pantai Mosageum.

Tip: Naik bas nombor 7 menghala ke Ocheongdong. Dari Yeosu Expo Station, anda akan lalu 14 hentian sebelum sampai di pantai Mosageum. Tambang pula sekitar KRW 1,250 (RM5)

Selain pantai Mosageum, ada satu lagi pantai iaitu pantai Maseongri yang agak terkenal dalam kalangan pengunjung kerana jaraknya lebih dekat dan banyak fasiliti seperti tempat mandi dan restoran berbanding pantai Mosageum. Walaubagaimanapun pantai Maseongri agak padat dengan orang ramai dan juga kurang bersih. 

Kelebihan pantai ni ialah ia berdekatan dengan tempat Yeosu Ocean Rail Bike, beberapa restoran/kafe (tempat terbaik untuk  dan tempat mandi awam. Kalau anda cuma ada masa terhad, boleh ke sini untuk menikmati suasana pantai atau mandi. Dari sini juga anda boleh nampak orang buat aktiviti paragliding. 

 Yeosu Scenic Point 

Terdapat satu scenic point terletak berdekatan dengan jalan utama ke Odongdo Island yang menawarkan pemandangan laut, pulau dan sebahagian dari bandar Yeosu. Ianya boleh diaskes melalui tangga setinggi 600 meter aau lif yang biasanya beroperasi dari 9 pagi hingga 10 malam. Lif ini juga akses utama untuk naik Yeosu Maritime Cable Car. 

Ada beberapa kafe dan restoran yang beroperasi di kawasan scenic point untuk anda menikmati makan dan minum petang atau malam. Pergi ke pondok diyesediakan jika anda nak santai sambil admiring the beauty. 

I can say it was one of my best moments in Yeosu as I spent my evening here after exploring the city while listening to a song called “Yeosu Bambada” meaning Yeosu Night Sea. This song is also one of the reasons why people wish/keep on coming to Yeosu. 



 Yeosu Marine Cable Car 

Jika anda tanya apa aktiviti menarik aku cuba sepanjang di Yeosu, salah satu highlight trip di sini sudah tentulah pengalaman menaiki Yeosu Marine Cable Car. 
Cable car bunyi agak biasa sebab semua tempat ada tarikan seperti ini tapi pengalaman yang aku dapat sememangnya sukar untuk dilupakan. Aku sengaja naik cable car ni pada waktu matahari terbenam dengan harapan dapat tengok pemandangan terbaik. Alhamdulillah, Dia bagi aku rezeki dapat tengok pemandangan yang sangat cantik. Biar gambar di bawah ni berbicara. Waktu terbaik naik ialah masa matahari terbenam atau malam
Salah satu shot sunset yang tercantik pernah aku dapat
Cable car dengan jarak 1.5 km ini menyambungkan dua tempat iaitu Dolsan Park dan Jalsan Park. Ia sesuai untuk mereka yang ada hasrat nak tengok keindahan bandar Yeosu dari atas (bird’s eye view). Yeosu Marine Cable Car mempunyai dua jenis kabin iaitu kabin biasa dan kabin kristal yang mempunyai lantai transparent dan lebih mahal. 
View cantik semasa naik cable car

Waktu operasi: 9 pagi – 9.30 malam (Ahad – Jumaat) dan 9 pagi – 10.30 malam (Sabtu)
Tiket masuk (return):
Kabin biasa KRW 13,000 (RM48) untuk dewasa dan KRW 9,000 (RM33) untuk kanak-kanak.
Kabin kristal KRW 20,000 (RM74) untuk dewasa dan KRW 15,000 (RM56) untuk kanak-kanak.
Nikmati diskaun sebanyak KRW 4,000 (RM14) jika anda guna buku diskaun DKYW2018

 Odongdo Beach 

Datang ke Yeosu tak sah kalau tak pergi ke pulau Odongdo yang boleh diakses dengan hanya berjalan kaki (sekitar 15 – 20 minit). Pulau ini sememangnya tempat ideal untuk anda appreciate the nature. Jangan lupa pergi ke observation tower terletak di lighthouse untuk menikmati pemandangan panorama laut dan bandar Yeosu.

Pulau ini juga terkenal dengan bunga Camellia yang biasanya tumbuh dengan mekar pada bulan Febuari hingga April. Waktu terbaik ialah penghujung bulan Febuari dan pertengahan Mac dimana pulau ini penuh dengan bunga Camellia. Tak hairan la kenapa pulau ini dianggap sebagai tempat romantik. Selain bunga Camellia, ada banyak lagi tumbuhan lain yang boleh anda tengok di sini.
Lighthouse dan cliff view di pulau Odongdo

Aku rasa tenang jalan di sekitar pulau Odongdo ditambah pula musik yang boleh didengari melalui pembesar suara yang terletak di beberapa tempat. Sebelum meninggalkan pulau Odongdo, pergi ke kawasan cliff sebab view di sini pun cantik. 
Waktu operasi: 7 pagi hingga 7 petang (musim panas) dan 8 pagi – 6 petang (musim sejuk)
Cara ke Odongdo island: Jalan kaki (melepasi jalan raya ke pulau sekitar 15 – 20 minit) atau naik tram dengan caj KRW 800 (RM3) sehala
Waktu terbaik: Febuari hingga April

 Seafood 

Akhir sekali, makanan laut.

Memandangkan lokasinya yang terletak di tepi laut, Yeosu mempunyai banyak restoran yang menghidangkan makanan laut sedap dan segar. Tak hairan la ada yang sanggup datang ke sini dari bandar lain untuk merasa makanan laut di sini.

Aku setuju. Makanan laut di Yeosu memang sedap sampai rasa nak tambah lagi. Bestnya sebab tiada masalah buat para pengunjung beragama Islam untuk cari makanan sebab ada banyak restoran yang hanya menghidangkan makanan laut.

Aku berpeluang menikmati makanan laut di salah satu restoran terletak di kawasan pantai Maseongri. Walaupun kebanyakannya ramai tak boleh cakap bahasa Inggeris masa tu, alhmadulillah ada juga pengunjung tempatan yang sudi jadi penterjemah aku bila nak pesan makanan (semua menu dalam bahasa Korea).

Muka excited dapat makan seafood yang super sedap

Aku pilih set grilled fish. Lihatlah betapa besar dan pelbagainya la hidangan di restoran ni. Ada nasi, ikan, sayur-sayuran, raw crab in soy sauce dan banyak lagi. Harga set ini ialah KRW 10,000 (RM37) rasanya cukup untuk dua orang. I have learned that you may refill the side dishes for free in Yeosu, if you’re lucky and the restaurant owner is generous enough. Jangan malu bertanya. Hehe.

Pejam celik pejam celik, eh dah sampai penghujung artikel ni. Khusyuk betul aku menaip sampai tak sedar. Sebenarnya ada banyak lagi tempat-tempat menarik boleh anda teroka di Yeosu. Aku cuma mampu kongsikan mana-mana yang aku sempat pergi la kan. Kalau ada rezeki, aku nak datang lagi ke sini. Tenang. Pemandangan cantik. Makanan sedap. Aku harap perkongsian ni boleh menarik minat anda untuk datang ke sini selain Jeonju. Terima kasih sebab sudi baca.

Sunset view dari Nongpo Maritime Park

Aku sajikan gambar sunset di Yeosu sebagai penutup artikel ni. Eh, okay la. Nak kena kejar bas ke destinasi seterusnya. Jumpa di BUSAN!

3 comments

  1. Odongdo Beach tu macam menarik je kalau dapat pergi musim bunga 😀

    Terima kasih pojie sharing artikel ni boleh masuk list ni tahun depan ke Korea

Leave a Reply to Husniey Husain Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *